Keadilan Menurut Imam Ali AS
(Dipetik dari buku Al-Adl fil-Islam oleh Al-Syahid Murtadha Mutahhari)

Laman Utama

Kandungan:

  1. Keadilan Sebagai Usul Agama
  2. Keadilan Yang Menyebabkan Syahidnya Imam Ali AS
  3. Kebaikan (Al-Jud) atau Keadilan?
  4. Kebaikan dan Keadilan Dalam Pandangan Etika Individual
  5. Keadilan dan Kebaikan Dalam Pandangan Sosial
  6. Kebaikan dan Ihsan
  7. Dunia Keadilan Luas dan Dunia Kezaliman Yang Sempit
  8. Keadilan Adalah Falsafah Sosial
  9. Kesedihan dan Penyampaian Hujah
  10. Pembahagian oleh Khalifah Uthman
  11. Terikat Kepada Apa yang Telah Berlalu
  12. Peringatan
  13. Awal Penentangan
  14. Permintaan Sahabat
  15. Mengembalikan Harta
  16. Surat Amru bin Al-As
  17. Keadilan Menjadi Sebab Kewafatan
  18. Imam Ali AS dan Khalifah



" Sesungguhnya telah Kami utus rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti yang nyata dan telah Kami turunkan bersama mereka Al-Kitab dan Al-Mizan supaya manusia dapat menegakkan keadilan. Dan Kami ciptakan besi yang padanya terdapat kekuatan yang hebat dan berbagai manfaat bagi manusia, dan supaya Allah mengetahui siapa yang menolong (agama)Nya dan rasul-rasulNya sedangkan Allah tidak dilihatnya. Sesungguhnya Allah Maha Kuat Lagi Maha Perkasa." (Al-Qur'an 57:25)

" Sesungguhnya Allah menyuruh (kalian) berbuat adil dan berbuat ihsan, memberi kepada kaum kerabat, dan Allah melarang perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepada kalian agar kalian dapat mengambil pelajaran." (Al-Qur'an 16:90)

Itu adalah dua ayat al-Qur'an dari dua surah yang berbeza. Pertama, ayat 25 Surah al-Hadid; kedua ayat 90 Surah al-Nahl. Keduanya, di samping ayat-ayat pada surah-surah yang lain, membahas tema yang sama iaitu keadilan. Pada ayat yang pertama kita dapati bahawa tujuan seluruh agama samawi adalah menegakkan neraca keadilan. Pada ayat yang kedua, Allah SWT menyuruh berbuat keadilan dan ihsan dengan memandang keduanya sebagai rukun  dan dasar Islam, sekaligus menjelaskan ruh Islam, iaitu melarang kekejian, kemungkaran dan kezaliman.

Masalah keadilan dan ihsan lebih khusus lagi, iaitu keadilan di samping disebutkan berulang-ulang di dalam al-Qur'an, di dalam sejarah Islam dan di tengah-tengah kaum Muslimin - memiliki perjalanan yang panjang, sama ada dari segi pandangan ilmiah di dalam sejarah pengetahuan Islam, ataupun di dalam sejarah sosiopolitik Islam. Sesungguhnya, keadilan merupakan rukun Islam sehingga layak kita bicarakan.

Keadilan Sebagai Rukun Islam

Menurut kami, rukun Islam itu ada lima: Tauhid, Al-Adl (Keadilan), Nubuwwah (Kenabian), Imamah dan Ma'ad (Hari Kebangkitan). Dua yang terakhir tentunya termasuk perspektif Islam. Keduanya merupakan rukun agama juga. Jelas, bahawa keadilan, dalam Madzhab dan Tariqah, juga merupakan rukun yang sangat penting, dan bukan sekadar masalah etika. Kerana itu saya gunakan kesempatan ini untuk membahas, sedapat mungkin rukun dan sejarahnya yang berkaitan dengan persoalan-persoalan sekarang. Saya akan memulai dengan membahas keadilan menurut Imam Yang Adil; contoh teladan bagi keadilan dan persamaan, yang hidup kebenaran dan keadilan, contoh yang sempurna bagi kecintaan manusia, juga bagi rahmat, mahabbah dan ihsan; pemimpin orang-orang bertaqwa. Orang-orang berkata mengenai dirinya:
" Dia dibunuh dimihrabnya kerana sangat adilnya."
Dialah Imam Ali bin Abi Talib AS.

Sungguh Imam Ali al-Murtadha merupakan penjelmaan keadilan dan contoh teladan bagi rahmat, mahabbah dan ihsan. Pada suatu malam, tokoh keadilan ini ditetak dengan pedang kerana keteguhannya yang tidak berbelah bagi dalam mempertahankan kebenaran dan keadilan dalam memenuhi hak manusia. Tetakan itu sungguh merupakan bukti kepahitan, mujahadah derita dan duka nestapa yang ditanggungnya. Tetakan yang menghamburkan darah ketika manusia tersebut sedang melaksanakan kewajipannya. Tetakan itulah yang memisahkannya dari dunia ini. Tetakan inilah yang menimbulkan kesedihan sepanjang abad, iaitu pemergian Imam Yang Adil (Imam Ali AS).

Aduhai.....(alangkah bahagianya) seandainya pemerintahannya dalam menegakkan contoh teladan  bagi masyarakat Islam yang bersinar berjalan lebih panjang....

Ungkapan bahawa beliau itu beristirehat dari kehidupan dunia, sungguh telah keluar dari lisannya. Setelah tetakan maut itu, di atas pembaringannya beliau AS berkata:" Tidak lain aku ini kecuali seperti orang yang bergerak kepada suatu yang hampir telah sampai, dan pencari yang menemukan (apa yang dicarinya)."

Keadilan Yang Menyebabkan Kesyahidan Imam Ali AS

Pada kesempatan ini, sebenarnya saya berharap dapat menyingkap pola-pola keadilan dan ihsan pemimpin orang-orang yang bertaqwa ini. Mudah-mudahan dapat saya jelaskan bagaimanakah keadilan Imam Ali AS, keadilan yang mengakibatkan pembunuhan ke atas dirinya itu, dan bagaimanakah keteguhannya dalam hal tersebut, sehingga mengakibatkan ramai orang yang membenci keadilannya, dan mengakibatkan pemberontakan dan penentangan. Apakah aitu hanya sekadar keadilan dalam kerangka etika seperti keadilan yang kita tuntut dari imam solat berjamaah, atau pada seorang hakim, atau pada seorang saksi perceraian, atau dengan kata lain apakah keadilan Imam Ali AS itu setingkat dengan keadilan yang sering disyaratkan alam huraian-huraian fiqh?

Keadilan semacam itu tidak mungkin akan melahirkan pembunuhan, bahkan sebaliknya akan meningkatkan kehormatan dan kecintaan.

Keadilan yang dikatakan 'membunuh Imam itu' pada hakikatnya merupakan falsafah sosialnya dan pemikirannya mengenai keadilan sosial Islami. Beliau berpegang teguh dengan pendiriannya bahawa sikapnya itulah yang dimaksudkan dengan keadilan dan falsafah sosial Islami. Beliau tidak sekadar adil tetapi juga pencari keadilan. Memang, di antara 'orang yang adil' dan 'pencari
keadilan' terdapat perbezaan, seperti juga terdapat perbezaan di antara 'kebebasan' dan 'pencari kebebasan'. Orang yang bebas bererti bahawa dia sendiri adalah seorang individu yang bebas sedangkan  orang yang mencari kebebasan bererti orang yang mempertahankan kebebasan masyarakat di samping memandang kebebasan itu sendiri sebagai tujuan masyarakat. Begitu juga halnya dengan ilmu dan alim, ada juga yang di samping alim juga berusaha menyebarkan ilmu pengetahuan dan pengajaran. Begitu juga halnya perbezaan di antara orang soleh dan pencari kesolehan.

Bagi pencari keadilan, keadilan merupakan pemikiran sosial. Al-Qur'an menyatakan yang bermaksud:

" Jadilah kalian tonggak-tonggak keadilan." (Al-Qur'an 4:135)
 
 Menegakkan keadilan bererti menjalankan keadilan, dan ini lebih dari sekadar kewujudan orang adil itu sendiri.

Al-Jud (Kebaikan) atau Keadilan?

Pada suatu ketika datang seseorang bertanya kepada Imam Ali al-Murtadha AS:" Manakah yang lebih afdal: keadilan atau kebaikan?"

Imam Ali AS menjawab:" Keadilan itu meletakkan sesuatu perkara pada tempatnya, sedangkan kebaikan mengeluarkan sesuatu perkara dari tempatnya."

Jadi keadilan adalah hak setiap yang berhak untuk menerima haknya. Kebaikan pula adalah apabila seseorang itu mengeluarkan haknya dan memberikannya kepada seseorang yang tidak berhak atas perkara tersebut. Itulah sebabnya kebaikan itu disebut sebagai mengeluarkan sesuatu dari tempatnya.

" Keadilan adalah pemandu umum dan kebaikan adalah pemandu khusus. Dengan demikian keadilan merupakan asas pengelolaan urusan-urusan umum yang di atasnya dibangunkan kaedah-kaedah sosial, sedangkan kebaikan merupakan suatu pengecualian berkenaan dengan orang-orang yang mendahulukan orang lain dari dirinya. Kebaikan dan itsar (mndahulukan kepentingan orang lain dari dirinya) tidak mungkin dapat dijadikan dua dasar yang di atasnya dibangunkan kehidupan sosial umum, sebagaimana mengingatkan tidak mungkinnya menetapkan keduanya sebagai hukum-hukum kehidupan yang harus dilaksanakan. Bahkan sekiranya kebaikan, ihsan, dan itsar itu diletakkan di bawah kekuasaan hukum-hukum eksekutif, maka tidak dapat lagi kita  menamakan kebaikan, ihsan, dan itsar. Yakni, sebagaimana dalam istilah, wujudnya mengharuskan tiadanya. Dengan demikian, kebaikan dan itsar itu bukanlah kebaikan dan itsar kecuali apabila keduanya itu tidak dipaksakan oleh hukum dan kekuasaan eksekutif. Manusia berbuat baik kerana adanya kemuliaan dan keluhuran, kesolehan, itsar dan cinta kepada sesuatu. Bahkan pun cinta kepada kehidupan. Baginya keadilan itu lebih utama dari kebaikan."

Inilah jawapan Imam Ali Murtadha AS terhadap masalah keutamaan keadilan atas kebaikan. Tidak syak lagi, bahawa seseorang yang memerlukan pemikiran sosial, tetapi menganalogikan masalah-masalah tersebut dengan analogi individual, tidak mungkin dapat menjawab dengan jawapan seperti ini. Ia tidak akan dapat mengatakan bahawa keadilan itu lebih utama daripada kebaikan. Imam Ali AS di dalam kata-katanya yang berharga ini, memandang keadilan dengan pandangan sosial, dan menganalogikannya dengan analogi sosial. Sesungguhnya ia merupakan ungkapan seseorang yang mempunyai falsafah sosial yang jelas.

Kebaikan dan Keadilan Dalam Pandangan Etika Individual

Para ahli etika berpendapat bahawa kebaikan (al-jud) lebih mulia dari keadilan. Sebaliknya Imam Ali AS dengan jelas mengatakan dengan hujah-hujah tertentu bahawa keadilan lebih tinggi dari kebaikan. Kedua, pandangan ini muncul dari dua arah pandangan yang berbeza. Sekiranya kita memandang masalah dari segi pandangan etika individual, maka kebaikan atau itsar itu berkedudukan lebih tinggi dari keadilan. Dikatakan demikian, kerana seseorang yang adil itu dipandang adil kerana telah sampai batas kesempurnaan insani seperti tidak melanggar hak-hak orang lain, tidak merampas harta orang lain dan tidak mencari nama di mata manusia. Orang yang berbuat baik dan itsar di samping tidak tamak terhadap harta seseorang, juga berbuat baik kepada orang-orang lain dengan harta dan kesusahan. Orang ini tidak mengambil hak orang lain tetapi ia memberikan haknya kepada orang lain. Ia tidak melukai seseorang yang luka dan sakit, ia juga tidak menjenguk orang-orang yang terluka dan sakit di medan pertempuran, di rumah-rumah sakit, di rumah-rumah orang, dan memberikan ubat-ubatan, membungkus lukanya dan merawatnya tanpa mengharapkan balasan. Ia bukan sahaja tidak menumpahkan darah orang lain tetapi juga ia bersedia untuk menumpahkan darahnya sendiri sebagai satu khidmat kepada kebaikan sosial.

Dengan demikian, dari segi sifat-sifat etika individu, kebaikan itu lebih tinggi daripada keadilan atau mungkin sekali mempunyai persamaan.

Keadilan Dan Kebaikan Dalam Pandangan Sosial

Bagaimanakah menurut pandangan sosial secara umum, yang memandang individu-individu sosial sebagai satu kesatuan?

Apabila kita memandang permasalahan tersebut dari sudut pandangan ini, maka kita akan mendapati bahawa keadilan itu lebih tinggi kedudukannya dari kebaikan.

Keadilan di dalam masyarakat sama dengan asas yang di atasnya didirikan sebuah bangunan sedangkan ihsan sama dengan hiasan sebuah bangunan tersebut dengan cat dan warna-warnanya. Maka kita harus, pertama, membangun asas dulu kemudian baru mengecatnya dan juga memperindahkannya. Apabila bangunan ini telah siap tetapi lemah asasnya maka apakah faedahnya warna dan hiasan itu? Sedangkan apabila asas bangunan itu kukuh, maka tentunya bangunan itu dapat dihuni walaupun belum diperindahkan dan tanpa hiasan. Ada ketikanya satu bangunan itu berlebihan dalam hiasan dan kemewahan lahiriahnya namun asasnya tidak kukuh. Dalam keadaan seperti itu bangunan ini boleh runtuh apabila ditimpa bencana alam seperti hujan lebat.

Selanjutnya, kebaikan, ihsan dan itsar yang pada suatu ketika baik dan bermanfaat serta memiliki keutamaan yang besar di dalam pandangan pelaku kebaikan dan ihsan itu, tetapi pada suatu ketika yang lain tidak baik bagi mereka yang menerima kebaikan dan ihsan tersebut. Ini termasuk yang harus kita perhitungkan sebagaimana kita harus memperhitungkan perhitungan masyarakat. Apabila kita tidak menjaga keseimbangan sosial, dan membiarkan masalah-masalah berjalan tanpa pertimbangan, maka keutamaan moral ini juga kadang-kadang mengakibatkan kemalangan umum dan kehancuran masyarakat. Oleh kerana itu sedekah yang banyak, wakaf-wakaf yang melimpah dan nazar-nazar yang berlebihan akan menjadi seperti banjir yang memporakperandakan masyarakat, ketika ia terbukti mengakibatkan kemalasan orang dan menciptakan masyarakat penganggur yang rusak fikirannya akibat tindakan kebaikan yang berlebih-lebihan itu. Kerugian seperti ini tidak lebih sedikit dari kerugian akibat serangan pasukan tentera musuh yang biadab. Itulah yang dimaksudkan dengan ayat yang mulia yang bermaksud:

" Perumpamaan harta yang mereka nafkahkan di dalam kehidupan dunia ini adalah seperti perumpamaan angin yang mengandungi hawa yang sangat dingin, yang menimpa tanaman kaum yang menganiaya diri sendiri, lalu angin itu merusaknya. Allah tidak menganiaya mereka tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri." (Al-Qur'an 3:117)

Pengaturan masyarakat itu tidak mungkin dapat dilakukan dengan kebaikan dan ihsan kerana asas sistem sosial itu adalah keadilan. Sebenarnya kebaikan dan ihsan itu apabila keduanya tidak dipertimbangkan dan ditentukan akan mengeluarkan permasalahan dari kedudukannya.

Imam Ali bin Husayn bin Ali bin Abi Talib AS berkata:

" Berapa banyak orang yang terkeliru dengan kebaikan dan berapa banyak orang yang tertipu oleh kebaikan dan berapa banyak orang yang terlempar kerana ihsan yang dilakukan oleh orang kepadanya."

Inilah maksud ucapan Imam Ali AS:

" Keadilan itu meletakkan sesuatu perkara pada tempatnya dan kebaikan itu mengeluarkannya dari tempatnya."

Ramai orang ketika mendengar bahawa Imam Ali AS ialah pewujud kamil (kesempurnaan), dermawan dan kebaikan melebihkan keadilan dari kebaikan terkejut dan bertanya: Bagaimana mungkin keadilan boleh lebih tinggi daripada kebaikan?

Apa maksud Imam Ali AS menyatakan hal itu padahal beliau sendiri menjadi penghulu ahli kebaikan, kedermawan dan itsar? Apa yang dimaksudkan bahawa kebaikan itu mengeluarkan perkara dari tempatnya?

Dari apa yang telah kami sebutkan di atas, nampak jelas bahawa pertanyaan-pertanyaan itu muncul  dari dimensi etika dan individual. Hal ini dapat dibenarkan. Tetapi sudut pandangan penting yang lain ialah dimensi sosial persoalan ini, yang selama ini hanya sedikit tertanam dalam benak kita dan tidak banyak mengundang perhatian kita. Ini kerana manusia belum mengetahui pentingnya kajian-kajian sosial dan intinbath (pengambilan kesimpulan) undang-undang yang mengatur masyarakat, kecuali pada tempoh kebelakangan ini. Dahulu, hanya sedikit daripada ulama kita yang tahu dan sedar akan hal tersebut kerana hal itu belum menjadi ilmu yang terumuskan. Oleh sebab itu dimensi yang diperhatikan hanya dimensi etika-individual sahaja.

Saya tidak berasa pernah membaca suatu perbahasan pada suatu buku sekitar pandangan seperti ini. Padahal itu ada dalam Nahjul Balaghah. Saya yakin bahawa sebabnya adalah kerana mereka tidak mampu mencerna pemikiran ini sesuai dengan ukuran-ukuran etika, dan mereka tidak mampu menjelaskannya dengan penjelasan yang dapat diterima.

Pada masa sekarang, dengan kemajuan ilmu-ilmu sosial, ukuran-ukuran yang lain pun yang bukan ukuran-ukuran etika telah sampai kepada kita. Dengan sinarnya,kita tahu sejauh mana nilai kata-kata itu, dan seberapa jauh hal itu telah melewati zamannya, bahkan zama Sayyid Ridha yang mengumpulkan ucapan-ucapan Imam Ali AS itu di dalam bentuk buku yang berjudul Nahjul Balaghah. Pada waktu itu Sayyid Ridha sendiri belum mampu menangkap makna kaa-kata itu. Begitu juga Ibnu Sina, seorang ahli falsafah besar yang hidup pada masa itu, tidak pula mampu menjelaskan hakikat sosial yang luhur ini.

Perbezaan Antara Kebaikan Dan Ihsan

Dari segi makna, kebaikan dan ihsan itu berdekatan. Di dalam Al-Qur'an keadilan menjadi pembanding bagi ihsan, sebagaimana firmanNya yang bermaksud:

" Sesungguhnya Allah menyuruh berbuat adil dan ihsan." (Al-Qur'an 16:90)

Orang yang bertanya kepada Imam Ali AS tentang kebaikan dan keadilan pada hakikatnya seakan-akan merujuk kepada ayat ini, dan bertanya mana yang lebih utama: keadilan atau ihsan. Jelas bahawa ihsan dan kebaikan aitu sangatlah dekat, meskipun tidak menyatu kerana ihsan lebih umum dari kebaikan. Ihsan mencakupi pemberian material dan perbuatan amal-amal soleh yang lain. Misalnya apabila anda menuntun tangan seorang yang lemah untuk melintas jalan, maka hal itu bukan kebaikan (al-jud) tetapi ihsan. Apabila anda mengajari orang jahil atau menunjukkan jalan kepada orang yang sesat di perjalanan,maka bererti anda telah berbuat ihsan kepadanya bukan berbuat al-jud.

Dunia Keadilan Yang Luas dan Dunia Kezaliman Yang Sempit

" Sesungguhnya di dalam keadilan itu terdapat keluasan dan siapa yang baginya keadilan itu sempit maka kezaliman pun baginya lebih sempit."

Sesungguhnya keadilan mencapai dan mencakup semua. Lingkungan yang satu-satunya dapat mengumpulkan manusia adalah keadilan. Manusia yang tamak dan rakus tidak akan pernah berasa puas dengan haknya yang memang terbatas. Maka ia berasakan keadilan itu sempit dan menindasnya sehingga tidak ragu lagi bahawa sempitnya penindasan dan kezaliman baginya, terasa lebih berat.

Penindasan yang diderita oleh manusia terdiri di atas dua perkara:

Pertama: yang disebabkan  oleh lingkungan dan masyarakat, yang bersifat fizikal, seperti pecutan atas kulit, atau pengasingan ke penjara.

Kedua: yang menimpa ruhani manusia dalam bentuk kejahatan hasad dengki, iri hati, balas dendam, tamak, dan rakus.

Sekiranya dia dalam masyarakat di tegakkan keadilan, nescaya manusia akan aman dari kejahatan fizikal, kerana seseorang tidak akan boleh melanggar hak orang lain. Dengan demikian, sekaligus orang tidak akan menindas dan meyempitkan ruh orang lain. Adapun apabila keadilan tidak ditegakkan, maka yang terjadi adalah hukum rimba, kezaliman, kekejian dan perampasan. Sesiapa berasa puas dalam penindasan unsur-unsur ruhaniah  dalam ketamakan dan kerakusan maka ketamakan mereka itu akan bertambah sejalan dengan bertambahnya penindasan unsur-unsur ruhaniah mereka.

Keadilan Adalah Falsafah Sosial

Maksud kenyataan di atas adalah untuk memalingkan pandangan kepada kacamata yang dengannya Imam Ali AS memandang keadilan. Apakah beliau melihat kepadanya dari sudut individu sahaja atau lebih banyak dari dimensi sosialnya? Dengan yang demikian dari segi ucapan Imam Ali AS dan dari segi perbuatan-perbuatannya khususnya perbuatan-perbuatan yang ditegaskan di dalam untaian hikmah-hikmahnya, menunjukkan jelas bahawa keadilan dalam perspektif Imam Muttaqin ini merupakan falsafah sosial Islami dan berada di atas peringkat teratas pemikirannya iaitu dengan memandangnya sebagai undang-undang Islam yang terpenting dan paling mulia.

Politiknya telah ditegakkan di atas asas ini, sehingga tidak mungkin dia akan menyeleweng sejengkal pun darinya walaupun sekadar bergeser dari motivasi dan tujuan. Inilah masalahnya satu-satunya yang banyak membuat kemusykilan baginya, dan ini pada waktu itu dipandang sebagai kunci yang dengannya para sejarah dan muhaqqiq membuka selubung di balik peristiwa yang terjadi pada masa kekhalifahan Imam Ali AS. Ketegasannya dalam masalah ini tidak ada tolok bandingnya.

Ketegasan Imam Ali AS di dalam keadilan yang pada satu sisi dipandang sebagai keadilan tetaoi pada satu sisi yang lain dipandang sebagai hak-hak manusia, cukup untuk menyatakan bahawa itulah yang menjadi falsafahnya sehingga ia menerima khalifah setelah Uthman. Setelah keseimbangan keadilan sosial itu porak-peranda, masyarakat Islam terbahagi kepada dua kelas; orang-orang yang sangat rakus dan mereka menjadi sangat lapar. Dalam hal ini Imam Ali AS berkata:

" Kalau bukan kerana hadirnya yang hadir dan tegaknya hujah dalam bentuk adanya penyokong, dan kalaulah Allah tidak akan menyiksa para ulama yang tidak melepaskan belenggu orang zalim dan derita orang yang teraniaya, sungguh akan aku biarkan tali kekang itu pada tengkuknya dan sungguh aku beri minum yang lainnya dengan piala awalnya."

Hal itu mengisyaratkan bahawa sejumlah penyokong dan pembantu telah datang kepadanya dan menyampaikan hujah padanya. Padahal Allah SWT telah mengambil janji para bijak pandai dan mereka yang memiliki dhamir (perasaan halus) bahawa jika mereka menyaksikan kemunculan situasi di mana ada kelompok yang menyibukkan dirinya dengan harta, kekayaan, dan kenikmatan sementara - yang kerana kerakusannya, makan hingga sakit - sementara hak-hak kelompok yang lain dirampas sehingga tidak mendapat apa yang mesti mereka dapatkan, maka mereka wajib berupaya merubahnya.

Sekiranya tidak ada perasaan yang sampai sedemikian itu dan adanya kewajipan keatasnya, sungguh beliau akan menghindarkan diri dan tidak akan mengambil tampuk pemerintahan sebagaimana sebelumnya.

Kesedihan dan Penyampaian Hujah

Sikap adil Imam Ali AS tidak terbatas pada hari-hari kekhalifahannya yang sungguh bebas dari kesalahan dan ketidakadilan terhadap hak-hak manusia. Lebih dari itu, ia berusaha keras memulihkan hak-hak yang dilanggar pada waktu sebelumnya yang dirampas oleh orang-orang yang tidak adil dan yang menguasainya.

Ibnu Abi al-Hadid berkata bahawa setelah pembunuhan Uthman, orang-orang berkumpul di masjid untuk bermesyuarat tentang masalah khalifah. Ketika tidak ada orang yang diharapkan oleh mereka selain dari Imam Ali AS, maka pada waktu itu pula beberapa orang berdiri berkhutbah kepada yang lain dan mengingatkan mereka pada masa lalu mengenai Imam Ali AS di dalam Islam, selanjutnya mendesak mereka untuk membai'ah Ali AS. Tetapi Imam Ali AS mengetahui akan gangguan yang akan diterimanya kerana itu jawatan khalifah diterimanya dengan penuh kesedihan sehingga beliau pun berkata kepada mereka yang datang membai'ahnya:

" Tinggalkan aku, dan pilihlah yang selain dariku, sesungguhnya kita menghadapi perkara yang memiliki berbagai wajah dan warna, hati tidak tegak di sisinya dan akal pun tidak kukuh di atasnya, dan sesungguhnya cakerawala telah kelabu dan jalan pun telah menjadi samar."

Kemudian, untuk menyampaikan hujah kepada mereka yang datang mendesak kepadanya untuk menerima jawatan khalifah, beliau AS berkata:

" Ketahuilah, sesungguhnya sekiranya aku menerima kemahuan kalian nescaya aku bawa kalian kepada apa yang aku ketahui (iaitu sesungguhnya aku apabila mahu menerima jawatan khalifah, nescaya aku akan berjalan dengan rencana yang aku ketahui. Ketika itu aku tidak akan menoleh kebelakang lagi dan mendengar kepada sesiapa pun. Adapun jika kalian meninggalkan aku dan tidak kalian membebankan hukum dan khalifah itu di atas bahuku, maka aku ma'dzur (ma'afkan kalian), dan keadaanku tidak lain kecuali sebagai musytasyar (penasihat), sebagaimana sebelumnya.)"

Pembahagian Oleh Uthman

Kemudian, menunjuk kepada pembahagian tanah kaum Muslimin yang dilakukan oleh Uthman dijadikan milik sebahagian orang dia AS berkata:

" Demi Allah sekiranya aku mendapatinya telah mengahwini wanita-wanita dan telah memiliki hamba-hamba, nescaya harta itu akan aku kembalikan."

Terikat Kepada Apa Yang Telah Berlalu

Di hari-hari kekhalifahannya. berbagai kemusykilan menghalang Imam Ali AS kerana beliau terikat kepada apa yang telah berlakunya pada khalifah-khalifah sebelumnya, iaitu beliau AS tidak mengatakan: " Allah SWT memaafkan orang-orang yang telah lalu," tetapi beliau AS berkata:" Sesungguhnya antara aku dan para pendahuluku ada perhitungan, yang terdahululah yang membuat apa yang ada sekarang dan yang akan datang, dan tidak mungkin bangunan tinggi yang kukuh dapat ditegakkan di atas asas yang rapuh."

Peringatan Penting

Dikatakan bahawa pada hari berikutnya beliau AS naik mimbar di masjid dan menegaskan kembali apa yang dikatakannya pada hari sebelumnya. Disebutkan bahawa beliau tidak tamak terhadap khalifah yang kedudukannya bererti satu status dan kepimpinan. Beliau berkata:

" Aku mendengar Rasulullah SAWA bersabda: " Sesungguhnya siapa yang memegang tali kekuasaan setelahku nescaya kedudukannya itu akan berada di atas jalan yang panjang, sementara para malaikat membuka buku amalan-amalannya, apabila ia berjalan dengan adil maka sesungguhnya dengan keadilan itu Allah akan menyelamatkannya tetapi kalau tidak, maka sesungguhnya Allah akan menghalaunya ke neraka."

Kemudian beliau menoleh ke kiri dan ke kanan, ke arah orang-orang yang berkumpul seraya berkata:

" Sesungguhnya siapa yang tertipu oleh dunia dengan harta benda, sungai-sungai, kuda yang gagah dan khadam wanita, dan apabila semua itu tidak aku ambil dari mereka dan aku kembalikan ke Baitul Mal, dan tidak aku berikan kepada mereka kecuali yang menjadi haknya, mereka akan berkata bahawa Ali telah melalaikan mereka, dan bahawa dia (Ali) mengatakan sesuatu, akan tetapi melakukan yang lain. Bahawa dia datang, tetapi merampas apa yang kita miliki. Sesungguhnya sejak sekarang aku umumkan kepada kalian jalanku yang jelas."

Kemudian beliau AS mula menjelaskan hal itu. Dan ketika di sana terdapat sejumlah sahabat yang berasa memiliki keistimewaan-keistimewaan kerana mereka sahabat Rasulullah SAWA kerana mereka telah melakukan hal ini dan hal itu di jalan Islam, dan mereka bersusah payah dalam menghadapi kesulitan, maka berkatalah beliau AS kepada mereka:

" Sesungguhnya aku tidak mengingkari kelebihan para sahabat dan keterdahuluan mereka dalam memeluk Islam dan pengabdian mereka kepadanya, hanya saja masalah-masalah demikian terserah kepada Allah dan pahalanya ada di sisiNya, bahkan tidak ada perbezaan apa pun antara mereka dan orang-orang lain, tidak pula itu menjadi sebab keistimewaan."

Awal Penentangan

Pada hari terakhir, datanglah orang-orang yang telah mengetahui bahawa mereka akan berada di bawah kekuasaan Imam Ali AS. Mereka berkelompok dan mulai bermesyuarat di antara mereka. Kemudian mengutus utusannya, Walid bin Uqbah bin Ali Muith, dan berkata:

" Wahai Abal Hasan, sesungguhnya engkau tahu kenapa kami berada di sini tentu kerana keterdahuluan kamu bersamamu di dalam peperangan demi menegakkan Islam. Kami tidak mencintai engkau kerana di antara tokoh kami ada yang mati di tanganmu, namun kami tidak memperdulikan hal itu, dan kami akan berbaiah kepada engkau dengan dua syarat: Pertama, janganlah engkau mengubah apa yang telah berlalu. Selain dari itu engkau boleh berbuat sekehendakmu. Kedua, engkau harus menyerahkan para pembunuh Uthman kepada kami untuk kami lakukan qisas ke atasnya. Dan sekiranya engkau tidak bersetuju dengan salah satu dari kedua syarat itu, tidak ada jalan bagi kami kecuali berpihak kepada Muawiyah di Syam."

Maka berkatalah beliau AS:

" Adapun darah yang tertumpah sebelumnya, tidaklah terdorong iri hati seseorang tetapi kerana perbezaan aqidah dan iman. Kami memerangi demi kebenaran, sedangkan mereka berperang demi kebatilan, maka menanglah yang haq ke atas yang batil. Dan apabila penolakan kalian ke atas hal itu dan kalian menghendaki diyatnya maka ajukanlah permintaan kalian itu kepada Allah, kenapa yang benar itu dimenangkan dan dijayakanNya. Adapun permintaan kalian untuk memaafkan yang sebelumnya, maka hal itu bukan urusanku, itu hak Allah yang dijanjikan kepadaku. Sedangkan para pembunuh Uthman, kalaulah sekiranya aku tahu siapa mereka itu, sungguh akan aku lakukan qisas ke atasnya dengan tanganku sendiri."

Selesai sahaja Walid mendengar jawapannya yang tegas itu, kembalilah dia kepada sahabat-sahabatnya dan menyatakan apa yang telah terjadi. Oleh kerana itu mereka bergerak dan bersepakat untuk menentang dan mengumumkan permusuhan kepada Imam Ali AS.

Permintaan Para Sahabat

Selanjutnya dikatakan bahawa ketika sejumlah sahabat Ali AS mengetahui adanya sekelompok orang yang berkumpul menentang kepimpinannya dan beruapaya merusak dan menghasut orang ramai, mereka datang menemui Ali AS dan berkata:

" Sesungguhnya sebab utama mereka itu menentang adalah kerana ketidakrelaannya, dan kenapa mereka itu berkomplot adalah kerana engkau tegas dalam menegakkan hak dan persamaan. Adapun masalah para pembunuh Uthman tidak lain hanyalah permainan dan topeng untuk menghasut dan mengerakkan orang-orang yang mahu (menentang) sahaja."

Imam Ali AS tahu bahawa pemikiran para penentangnya ini pasti telah meyusup ke dalam jiwa-jiwa orang ramai dan bahawa mereka juga menghendaki keringanan darinya terhadap perlaksanaan keadilan itu. Maka bangunlah dan berangkatlah beliau ke masjid untuk berkhutbah di hadapan orang ramai dalam keadaan " siap sedia" dengan pedang terhunus, dan sarung pedang tergantung di bahunya.

Beliau naik mimbar, berdiri dengan menghunus pedang dan segera berbicara. Setelah memuji dan bersyukur kepada Allah SWT atas nikmat-nikmatNya kepada hambaNya, kemudian beliau AS berkata:

" Sesungguhnya sebaik-baik manusia di sisi Allah adalah orang yang paling taat kepadaNya, dan orang yang paling mengikuti sunnah RasulNya, dan orang yang paling menghidupkan KitabNya."

Kemudian beliau AS juga mengatakan bahawa ia tidak melebihkan seseorang ke atas yang lain kecuali dengan pertimbangan ketaatan dan taqwa. Bahawa al-Qur'an di hadapan kita, dan Sunnah Rasulullah SAWA di antara kita. Keduanya dibangunkan di atas keadilan dan persamaan, yang tidak tersembunyi bagi seseorang, kecuali bagi mereka yang mahu menentang dan menolak. Dan itu adalah soal lain. Beliau kemudian membacakan ayat al-Qur'an yang bermaksud:

" Hai manusia, sesungguhnya Aku ciptakan kalian dari lelaki dan perempuan dan Kami jadikan kalian berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kalian saling mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah itu adalah orang yang paling bertaqwa di antara kalian." (Al-Qur'an 49:13)

Beliau AS membaca ayat tersebut supaya mereka tahu bahawa beliau AS hanya mengistimewakan orang yang mempunyai sifat-sifat seperti yang dinyatakan dalam ayat itu.

Mengembalikan  Harta

Ibnu Abi al-Hadid mengulangi lagi ucapan Imam Ali AS:

" Demi Allah, sekiranya aku mendapatinya telah mengahwini wanita-wanita dan telah memiliki hamba-hamba dengan harta itu, nescaya semuanya akan aku kembalikannya," dan mengatakan bahawa beliau akan menepati janjinya. Maka beliau AS pun memeriksa harta mereka, kecuali bagi mereka yang tidak ada atau yang lari dan yang tidak mampu dijangkau. Sesungguhnya dalam hal-hal yang berkaitan dengan hak-hak sosial, undang-undang itu berlaku  kerana hak meskipun ia sudah berlalu, tidak boleh dibatalkan: Hak tidak boleh dirobohkan oleh perjalanan zaman.

Surat Amru bin Al-As Kepada Muawiyah

Ketika itu Amru bi al-As menulis sepucuk surat kepada Muawiyah, antara lain berbunyi: " Aku tidak boleh berbuat apa-apa tetapi sebagai penguasa perbuatlah sesuatu sebelum Ibn Abi Talib merampas segala yang engkau miliki seperti orang yang mengupas tongkat dari kulitnya."

Keadilan Yang Menjadi Sebab Kewafatan

Apa yang kami ucapkan bahawa beliau AS terbunuh di mihrabnya kerana sangat adilnya, kini menjadi jelas. Sesungguhnya semua alasan yang lain, seperti menyerahkan para pembunuh Uthman, atau apa yang terjadi pada peperangan Islam dengan kaum Musyirikin adalah dalih belaka. Permasalahan yang sebenarnya adalah perlaksanaan hak dan keadilan sosial, khususnya kerana Imam Ali AS tidak puas dengan hanya bertolak ansur di atas  apa yang telah terjadi sebelum ini.

Ali Dan Khalifah

Pada akhirnya saya sebutkan kepada anda sisi amal-amalnya yang khas dan ketegasannya yang oleh kerananya telah merenggut nyawanya sendiri. Imam Ali AS tidak pernah mengizinkan dirinya atau seorang pun dari keluarga dan para pembantunya memanfaatkan status khalifah yang dipegangnya kerana khuatir akan merusak perlaksanaannya. Apabila beliau keluar ke pasar untuk membeli sesuatu, beliau selalu berusaha membeli kepada orang yang tidak mengenalnya sebagai khalifah dan Amirul Mukminin supaya orang itu tidak membezakannya dengan orang lain. Sehingga demikian jauh sikap beliau AS yang tidak mahu memanfaatkan kedudukannya sebagai khalifah terhadap kaum Muslimin yang dipimpinnya.

Dalam perspektif orang yang melaksanakan kewajipan dan orang yang tidak memanipulasikan status jawatannya itu bukanlah satu hak, namun kewajipan dan taklif. Ada perbezaan di antara hak dan taklif. Hak adalah mengambil manfaat tetapi taklif adalah kewajipan. Apabila kita membiarkan kedudukan sosial itu dimanfaatkan secara salah, maka bererti kita tidak dapat menamakan kedudukan itu dengan hak bahkan kita wajib menyifatinya dengan taklif dan kewajipan. Apabila kita hendak membahas status kelompok tertentu, maka kita harus menanyakan persoalan: Apakah taklif mengikatnya atau tidak? Kita tidak boleh mengatakan: Apakah ini termasuk haknya atau tidak? Bentuk masalah itu sama sekali berganti-ganti, misalnya kita mengatakan: ketenteraan itu taklif bukan hak. Kerana itu kita mengatakan: tentera yang diwajibkan. Apabila saya tidak menyelenggarakannya dengan amal yang ikhlas, maka jelaslah bahawa semua itu taklif-taklif bukan hak-hak. Seterusnya syarat-syarat taklif itu bukanlah syarat-syarat hak.

Bagi Imam Ali AS yang tidak mahu diselewengkannya itu ialah merupakan kewajipan, bukan hak. Ini disebabkan taklif yang wajib itu apabila diselewengkan secara tidak sah, maka ia adalah kesalahan atas nama hak. Sekiranya solat itu diselewengkan sedangkan ia merupakan taklif, lantas dijadikan alat untuk memperolehi sesuatu secara tidak sah, akibatnya solat dalam pandangan orang yang memanfaatkan itu sama sekali bukan taklif. Padahal kenyataannya tidaklah sedemikian.

Apabila kita mahu melihat Imam Ali AS yang tidak mahu memanfaatkan jawatannya sekalipun misalnya kepada orang yang tidak mengenalnya dipasar tidak lain adalah supaya jawatannya tidak mempengaruhi orang itu sehingga menjual kepadanya dengan harga yang lebih murah. Akan kita temukan bahawa baginya kekhalifahan adalah taklif, bukan suatu hak. Itulah taklif yang paling tinggi, bahkan lebih tinggi dari taklif itu sendiri. Itulah tarwidh.

Suatu hari ketika cuaca sangat panas, beliau keluar dari pejabatnya dan duduk di tempat teduh kerana khuatir orang yang datang dan memerlukan bantuannya tidak mendapatkannya.

Pada hakikatnya ini merupakan tarwidh (penjinakan jiwa). Inilah taklif paling sukar dan paling berat.

Ketika menulis surat kepada Qatsam bin Abbas, gabenor Hijaz, beliau berkata:

" Duduklah di samping mereka pada kedua asar, berilah fatwa kepada orang yang meminta fatwa, ajarilah yang jahil, ingatkanlah yang alim, janganlah bagimu ada wakil kepada masyarakat kecuali lidahmu, dan tidak ada hijab kecuali wajahmu."

Ketika menulis surat untuk Malik al-Asytar, beliau AS mengatakan:

" Sempatkanlah diri kamu untuk memenuhi hajat mereka darimu. Hadirilah majlis umum, bertawadhulah kepada Allah yang menciptakanmu, jauhkanlah tentera dan polismu, para pengawal dari tengah-tengah mereka sehingga mereka boleh berbicara tanpa rasa takut. Sesungguhnya aku telah mendengar Rasulullah SAWA bersabda:

" Sungguh umat itu tidak akan dibersihkan sehingga hak orang yang lemah dari umat diambil dari orang yang kuat daripada umat tersebut tanpa ragu-ragu dan takut."

Juga mengenai tidak bolehnya mengasingkan diri, beliau mengatakan:

" Dan janganlah kamu memanjangkan pengasinganmu dari rakyatmu, kerana pengasingan para pemimpin dari rakyat adalah sebahagian daripada kesempitan."